Penyertaan Wanita di Peringkat Membuat Keputusan Perlu

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa berkata masih ada keperluan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang kritikal seperti kedudukan di peringkat membuat keputusan di sektor awam dan swasta. Wanita sendiri perlu berusaha untuk mendapatkan kedudukan yang diidam-idamkan itu berdasarkan kepada merit, keupayaan dan pengalaman, kata Muhyiddin dalam ucaptamanya pada Sidang Kemuncak Wanita 2009 di sini.

Beliau berkata sementara kerajaan bersetuju kepada sasaran 30 peratus bagi jawatan kanan di sektor awam untuk dipegang oleh wanita, penyertaan mereka pada peringkat itu di sektor-sektor korporat masih lagi kurang penyertaannya.

Sehubungan itu, beliau berkata sektor korporat perlu mencontohi langkah sektor awam untuk memperkenalkan penyertaan lebih ramai wanita pada peringkat membuat keputusan.

Peratus wanita yang menganggotai lembaga pengarah di dalam sektor korporat terus menurun kepada 6.1 peratus tahun lepas berbanding 9.9 peratus pada 2004 dan hanya 12 peratus wanita memegang jawatan utama di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, wanita yang memegang jawatan tertinggi dari pengurus besar kepada presiden atau ketua pegawai eksekutif (CEO) sesebuah syarikat meningkat kepada 26.2 peratus tahun lepas berbanding 13.5 peratus pada 2004, katanya.

Semasa sesi soal jawab selepas itu, Muhyiddin berkata dasar untuk mensasarkan lebih ramai wanita memegang kedudukan penting telahpun dijelaskan tetapi persoalan sekarang ialah cara untuk menguatkuasakannya dan menjadikannya satu kenyataan bukan sahaja di peringkat agensi tetapi juga GLC.

“Ini adalah sesuatu yang saya akan ambil perhatian dan mungkin terdapat keperluan bagi kerajaan di peringkat kabinet untuk berbincang dan meneliti butiran tentang bagaimana perancangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata ia agak mengecewakan untuk mengetahui bahawa ada sesetengah syarikat sektor swasta yang tidak mengambil langkah dan peraturan yang sama seperti sektor awam dalam soal umur persaraan, yang telah dinaikkan kepada 58 tahun bagi sektor awam.

“Saya tidak tahu kenapa sektor swasta bertindak sedemikian kerana wanita pada usia itu masih produktif. Anda telah mencapai satu kemuncak dalam soal pengalaman, mereka patut mengekalkan anda, kecuali kalau ada sesetengah CEO lelaki yang cauvinis yang berfikiran bahawa wanita perlu bersara awal,” katanya kepada seorang peserta yang mengadu mengenai diskriminasi gender di sesetengah syarikat swasta yang meletakkan umur persaraan pada usia 50 tahun bagi pekerja wanita dan 55 bagi lelaki.

Katanya beliau mengambil perhatian serius terhadap aduan itu termasuk meneliti undang-undang yang mungkin perlu dikaji semula.

Beliau juga berkata kerajaan akan mengkaji cadangan itu untuk menjadikan mandatori bagi agensi-agensi dan sektor-sektor lain untuk mengambil lebih ramai pekerja wanita.

Ketika menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata terdapat kes yang kukuh bagi wanita untuk berjuang bagi mendapatkan lebih perwakilan dalam lembaga pengarah GLC.

Ditanya kenapa kebanyakan lembaga pengarah GLC didominasi oleh lelaki dan sama ada wanita diberikan peluang untuk menerajui syarikat-syarikat itu, Muhyiddin berkata kelemahan dalam proses pengambilan, prosedur, dasar dan pelaksanaan kadangkala menafikan peluang kepada wanita yang berkebolehan dan berkelayakan bagi memegang kedudukan penting termasuk di dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata dasar 30 peratus bagi penyertaan wanita tidak terpakai dalam politik kerana ia tertakluk kepada pertinbangan tertentu seperti penerimaan oleh para pengundi.

Sidang kemuncak sehari itu bertemakan ” Bolehkah Wanita Mengubah Kesusahan Menjadi Satu Peluang?” disertai kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia.

– BERNAMA

Related articles