Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad, Harian Metro
KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu mengambil peluang dalam suasana krisis ekonomi dan proses pemulihan yang semakin baik bagi menceburi bidang baru yang mampu membawa kejayaan kepada mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia termasuk bidang memperbaharui teknologi, teknologi maklumat, eko-pelancongan dan kemunculan teknologi baru.
Beliau berkata, bidang itu sebenarnya ruang yang belum diterokai dan dikuasai lelaki.
Muhyiddian berkata, beliau mahu merujuk petikan dalam Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Mac 2009 berkaitan Trend Pekerjaan Global untuk Wanita.
“Sudah terbukti bahawa dunia menghadapi krisis dramatik yang tidak dijangkakan yang memerlukan penyelesaian kreatif bagi membincangkan jurang jantina (gender gap).
“Cabaran besar ini turut menghasilkan peluang bagi membincangkan ketidaktentuan sosial yang negatif secara global terhadap wanita,” katanya
Beliau berkata, krisis itu memaparkan dengan jelas perlu ada peralihan dramatik bagi memperbaiki sempadan perhubungan, termasuk mengekalkan pekerjaan dan perlindungan sosial.
“Apa yang menarik yang saya temui dalam laporan itu adalah cadangan untuk mengadakan dialog sosial.
“Saya sendiri sentiasa dan begitu menggalakkan dialog sosial yang saya yakin membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk berkembang dan bukan saja terselamat dalam cabaran global yang semakin banyak,” katanya ketika menyampaikan ucap tama Sidang Kemuncak Wanita 2009 bertemakan Membantu Wanita Menukar Kesusahan Kepada Peluang di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKDM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha KPWKDM, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.
Pada majlis itu juga, Muhyiddin berkesempatan berdialog dengan lebih 10 peserta persidangan yang kebanyakannya menyuarakan persoalan membabitkan isu wanita termasuk penyertaan wanita bagi mengisi jawatan tertinggi dalam syarikat ada kaitan dengan kerajaan (GLC) selain kos tinggi bagi mendapatkan pembantu rumah.
Muhyiddin berkata, bagi membina kekuatan dan integriti, semua pihak perlu mengukuhkan moral, semangat dan nilai etika.
Kini, katanya, pemimpin korporat dan pegawai kanan sektor awam perlu mengetengahkan strategi dan polisi berkaitan kekuatan etika yang digunakan.