Benarkan pekerja wanita berhenti sementara demi anak
August 2 2007 KUALA LUMPUR: Kaum wanita di negara ini wajar diberi kelonggaran dalam pekerjaan bagi membolehkan mereka turut menumpukan perhatian kepada keluarga masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata sektor perkhidmatan awam dan swasta perlu mengkaji kemungkinan untuk membenarkan pekerja wanita mereka berhenti sementara bagi menunaikan tanggungjawab kepada keluarga, sebelum kembali semula bertugas setelah kedudukan keluarga mereka lebih stabil.
“Kelonggaran ini perlu diberi untuk pekerja wanita keluar sementara daripada perkhidmatan mereka, misalnya kerana baru melahirkan anak dan kemudian bila anak-anak sudah besar, mereka boleh masuk semula dalam perkhidmatan dan meneruskan kerjaya mereka.
“Saya dapati ramai wanita yang ingin membuat keputusan tersebut (berhenti sementara) supaya kepentingan keluarga mereka dapat dijaga dan pada masa sama mereka tidak mahu berhenti terus daripada berkhidmat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita 2007 di sini, hari ini.
Najib berkata dengan adanya kelonggaran itu, ia akan dapat mengelak gejala pemberhentian beramai-ramai tenaga kerja wanita daripada sektor pekerjaan, bagi memenuhi tuntutan keluarga.
Sehubungan itu beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diminta untuk mengkaji sama ada perkara itu boleh dilaksanakan, atau sebaliknya, sebelum mengemukakan cadangan itu kepada jemaah menteri.
“Saya tidak menyatakan ini sebagai keputusan… ini sebagai suatu yang akan dikaji secara mendalam dan akan dipertimbangkan bila sampai masanya,” katanya yang mahukan sektor swasta untuk mengambil langkah yang sama.
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Shahrizat ketika diminta mengulas cadangan itu berkata ia perlu dipandang serius oleh semua pihak jika tidak mahu kehilangan tenaga kerja mereka.
“Saya hendak menyeru kepada semua syarikat untuk melihat isu ini dengan lebih serius sebab ia bukan hanya isu wanita, tetapi isu perniagaan dan kerja kerana keseimbangan hidup juga merupakan isu perniagaan,” katanya.
Beliau berkata syarikat yang telah mempunyai polisi yang lebih mesra keluarga mempunyai keseimbangan, di mana kajian menunjukkan syarikat berkenaan mempunyai daya produktiviti dan keuntungan yang lebih baik.
Shahrizat berkata polisi untuk mewujudkan keanjalan itu telah menjadi trend dunia dalam menjamin penggunaan tenaga kerja yang optimum.
Beliau berkata pada masa ini, hampir 36 peratus daripada tenaga kerja di negara ini terdiri daripada kaum wanita manakala kira-kira 4.7 juta wanita lagi berada di luar pasaran buruh.
Sidang Kemuncak Wanita 2007 kali kelima itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan tema “Wanita Nadi Pembangunan”.
Lebih 2,000 peserta menghadirinya yang antara lain memberi tumpuan kepada usaha untuk mencapai keseimbangan antara keperluan kerjaya dan keluarga dengan pelbagi topik perbincangan diadakan. BERNAMA
Leave a Reply