Encik Tony Heneberry bertindak sebagai moderator bagi perbincangan ini. Graduan dalam bidang kejuruteraan ini merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PDQ, sebuah syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan pasaran dan perhubungan dalam pengurusan perniagaan. Sebagai pakar dalam bidang komunikasi pemasaran dan pembangunan perniagaan, beliau sering menjadi perunding bagi syarikat-syarikat lain dari pelbagai sektor termasuklah perkhidmatan kewangan, automotif, pembuatan, perkhidmatan pelanggan, teknologi maklumat dan penjagaan kesihatan. Datuk Peter Wentworth merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi BP Asia Pacific. Beliau telah menghabiskan lebih 35 tahun dengan BP meliputi empat Negara iaitu United Kingdom, Perancis, Australia dan Malaysia sendiri. Karier beliau lebih ditumpukan kepada pengurusan perniagaan dan pembangunan projek-projek mega termasuk pelaksanaan usahasama pertama kompleks petrokimia di Malaysia dengan Petronas melibatkan kos sebanyak USD 1 billion. Graduan dalam bidang kewangan dan akaun ini telah dikurniakan gelaran Datuk pada tahun 2003 atas jasa-jasa beliau dalam penglibatan beliau memajukan ekonomi Malaysia.
David Fuller merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Oxygen (MOX), salah sebuah daripada 50 syarikat tersenarai di Malaysia. Karier beliau dengan BOC Group iaitu salah sebuah pemegang saham terbesar MOX telah membawa peranan beliau sepenuhnya dalam pengurusan termasuklah hampir 15 tahun bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Hong Kong, Mauritius, operasi di Selatan China dan Malaysia.
Dr. Hamidah Merican merupakan Pengurus Diversity & Inclusion Rantau Asia Pasifik, BP Asia. Beliau merupakan bekas pensyarah mempunyai Sarjana dalam bidang Pembangunan dan Latihan dan ijazah kedoktoran dalam Pengurusan Berasaskan Nilai. Beliau berpengalaman selama 12 tahun di Intel Corporation & Shell Oil sebelum menyertai BP dalam bidang Pembangunan Organisasi dan Diversity. Beliau juga terlibat dalam Program Pendidikan Nilai Kehidupan dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan telah memulakan kumpulan kecil ibubapa yang menganjurkan keselamatan kanak-kanak.
Mohamed Ashraf Iqbal merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Auto Federal, pengimport dan penjual utama kereta Volvo di Malaysia. Pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Proton bagi United Kingdom/Europah. Pada masa ini beliau menjadi perunding bagi syarikat-syarikat besar di Malaysia dan Indonesia terutamanya dalam program transformasi pengurusan.
Moderator memulakan sesi panel dengan pengenalan ringkas mengenai syarikat BP. Sebagai syarikat yang berorentasikan prestasi, BP sentiasa sedar bahawa kekuatan dan kualiti amat penting dalam memberikan komitmen untuk membangunkan fokus yang lebih strategik. Syarikat BP pada masa ini telah diperluaskan meliputi aspek geografi mahupun perniagaan dengan kepelbagaian budaya melalui penggunaan D&I untuk memanfaatkan potensi yang ada pada manusia. D&I sentiasa mempertahankan isu-isu berkaitan pekerja seperti seperti pekerja patut dilayan dengan penuh penghormatan dan pekerja sepatutnya dinilai melalui merit mereka sendiri. Pekerja sewajarnya tidak dipandang atas faktor-faktor seperti bangsa, umur, gender, agama, orientasi seksual mahupun etnik. Segala anggapan dan tanggapan haruslah dijadikan panduan utama dalam sesebuah syarikat membina kerangka kepimpinan.
Datuk Peter memulakan perbincangan dengan rasa penghargaan dan terima kasih kerana diberi peluang untuk menjadi ahli panel ini. Beliau seterusnya menghuraikan tentang persoalan “adakah wanita sudah bersedia untuk jawatan-jawatan penting” dan persoalan “adakah wanita berkeupayaan dalam bidang perniagaan dan politik”. Juga mengenai mengapakah persoalan berkaitan keupayaan wanita yang sering dipersoalkan terutamanya bagi kejayaan sesebuah pengurusan. Menurut Datuk Peter, sebagai syarikat kejuruteraan berteknologi tinggi BP telah merangka strategi termasuklah mempelbagaikan perwakilan dan kepimpinan pengurusannya. BP percaya dengan mengubah persepsi, sikap dan tingkah laku terhadap kaum wanita sebagai kaum minoriti, ia akan memberi ruang dan peluang untuk mereka menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi.
Dr. Hamidah pula telah menggariskan tiga langkah untuk kaum wanita mencapai kejayaan sebagai pemimpin dan mengatasi persepsi negatif terhadap kaum wanita itu sendiri. Pertama, wanita perlu mengenalpasti dan memperbaiki diri mereka dengan mengutarakan persoalan-persoalan seperti siapakah mereka, apakah sebenarnya yang mereka mahu dalam hidup, juga visi dan matlamat hidup mereka. Kedua, wanita perlu menjadi lebih fleksibel dan perlu tahu cara menyesuaikan diri tambahan pula menurut Dr. Hamidah lagi, pada masa kini suasana tempat kerja adalah terlalu dinamik. Walaupun terdapat halangan/kekangan bagi mereka, wanita perlu melihat kepada nilai-nilai kelebihan yang ada di dalam diri mereka. Ketiga adalah rangkaian. Rangkaian merupakan faktor kritikal untuk wanita berjaya sama ada dalam sektor awam dan swasta mahupun korporat. Bagi memperluaskan rangkaian, kaum wanita harus keluar dari ‘zon selesa’ mereka, umpamanya belajar dari sejarah kejayaan wanita-wanita yang lain.
David membincangkan mengenai perubahan minda perlu dibuat jika seseorang wanita ingin menjadi pemimpin yang berjaya. Beliau tidak menafikan bahawa terdapat halangan bagi seseorang wanita untuk berjaya. Diskriminasi gender terdapat di mana sahaja termasuk kedudukan dan prestasi dalam organisasi dan juga kredibiliti dan kemampuan wanita yang sering tidak dihargai. Dalam usaha untuk mengatasinya, wanita perlu menjadi proaktif dan mempunyai pemikiran yang positif. Mereka juga perlu bernai untuk bersuara dan perlu mempunyai daya saing yang tinggi.
Ashraf Iqbal percaya bahawa kredibiliti dan kemampuan wanita telah banyak menyumbang kepada kejayaan produktiviti termasuklah bagi BP sendiri. Beliau turut menyokong isu perlanjutan cuti bersalin yang kini diperjuangkan oleh Kementerian. Beliau melihat isu ini dari perspektif yang berbeza di mana menurut beliau selain membenarkan seseorang wanita itu sembuh sepenuhnya selepas melahirkan, ia juga akan memberi juga membuka peluang dan pilihan untuk pekerja lain menggantikan kedudukan pekerja yang bercuti walaupun secara sementara. Secara tidak langsung pekerja-pekerja lain mendapat pengalaman atas kerja-kerja yang lebih mencabar. Dengan ini beliau percaya bilangan pekerja berkemahiran tinggi yang akhirnya akan menyumbang kepada kejayaan organisasi turut bertambah.
SESI SOAL JAWAB
Puan Usha Dillai, NCWO
Soalan : Bagaimana untuk memastikan bahawa pengurusan atasan akan mengambilkira persoalan diversity dan inclusion dan bagaimana ianya dilakukan?
Jawapan : David menerangkan bahawa bagi pihak BP persoalan ini masih terbuka dari aspek pro dan kontranya dan fokus diberikan stakeholder dan shareholder. Walau bagaimanapun BP mencuba mendekati masyarakat secara umum sebagai contoh mengadakan program Corporate Social Responsibility dan dialog.
Puan Khairiyah Talha, Perancang bandar
Beliau menyatakan kegusaran mengenai peluang yang tidak sama rata dan diskriminasi masih wujud terutamanya dalam perlantikan wanita dalam kepimpinan sebagai contoh terdapat kekurangan wanita di peringkat kepimpinan kerajaan tempatan. Berpandukan pengalaman beliau juga, beliau dapati sikap prejudis terutamanya kepada wanita Muslim yang bertudung masih wujud. Seterusnya beliau menegaskan sentimen bahawa 70% wanita berada di peringkat pengajian tinggi akan membawa kepada masalah sosial harus diperbetulkan.
Jawapan : Bagi BP, peluang yang tidak sama bagi wanita bukanlah satu isu besar. Tetapi BP sendiri telah mewujudkan kepelbagaian struktur kepimpinannya walaupun agak sukar bagi BP memandangkan BP adalah sebuah syarikat berasaskan kejuruteraan berteknikal tinggi.
3. Datuk Dr. Raj Karim, Regional Director of the International Planned Parenthood Federation, East and South East Asia & Asiana Region
Soalan : Beliau bertanyakan mengenai pembangunan kapasiti dalam usaha BP supaya wanita sedar akan potensi besar yang ada pada diri mereka dan cuti bersalin serta kaitannya dengan produktivti sesebuah organisasi
Jawapan : Bagi pihak BP mereka sentiasa menerapkan nilai-nila di mana lelaki dan wanita perlu memahami antara satu sama lain. BP juga menggunakan sepenuhnya perbezaan antara lelaki dan wanita ke arah yang positif. Antara program yang BP dilaksanakan dalam usaha ini adalah gender speak dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran kerja yang menyeronokkan.
Puan Madihah, Malaysian Institute of Management
Soalan: Bagaimana untuk menghubungkaitkan antara knowledge acquisition dan knowledge application.
Jawapan: Kemahiran amat penting bagi menghubungkaitkan perkara ini.