7 Secrets to Success from Women Entrepreneurs
Elizabeth Carlassare merupakan seorang penulis, penceramah, perancang strategi internet dan usahawan yang mempunyai pengalaman kerja lebih daripada 16 tahun dengan syarikat – syarikat di Silicon Valley. Selaku Pengurus Pembangunan Maklumat untuk syarikat Symantec, Elizabeth Carlassare ditugaskan dalam bidang pengurusan isi kandungan (content) dan pembangunan laman web untuk syarikat – syarikat besar seperti Adobe dan Intuit.
Beliau juga telah menulis sebuah buku yang berjudul “Dotcom Divas : E – Business Insights from the Visionary Women Founders of 20 Net Ventures.”
Pada Sidang Kemuncak Wanita kali ini, Elizabeth Carlassare telah membincangkan topik bertajuk Jumping Out of Your Comfort Zone – 7 Secrets to Success from Women Entrepreneurs. Fokus perbincangan beliau menyentuh tiga perkara seperti berikut:
- peningkatan bilangan pengusaha wanita di Amerika Syarikat;
- tujuan penulisan buku Dotcom Divas; dan
- tujuh ciri yang dikongsi oleh usahawan wanita yang telah berjaya.
Elizabeth Carlassare memaklumkan bahawa bilangan pengusaha wanita semakin ramai di Amerika Syarikat dengan peningkatan wanita yang menceburi perniagaan adalah dua kali ganda lebih ramai daripada bilangan lelaki. Kini, terdapat sebanyak 29 peratus perniagaan baru dalam bidang teknologi maklumat telah melantik wanita di peringkat pengurusan atasan. Manakala, sebanyak 3 peratus wanita dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Lebih kurang 7 peratus syarikat baru diasaskan oleh wanita tetapi mereka hanya menerima modal sebanyak 5 peratus sahaja. Perkara ini disebabkan masalah yang dihadapi untuk mendapatkan sokongan daripada ’old boys network’.
Elizabeth Carlassare seterusnya menerangkan bahawa buku Dotcom Divas adalah mengenai 20 orang wanita yang berjaya menubuhkan syarikat internet dengan mendapatkan modal usaha niaga (venture capital). Beliau berminat menulis buku ini memandangkan ramai wanita yang terlibat dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi tetapi tidak banyak maklumat yang diperolehi untuk dijadikan panduan oleh bakal usahawan wanita. Wanita memilih bidang keusahawanan kerana mereka mempunyai idea untuk direalisasikan bagi menembusi pasaran. Di samping itu, mereka berpeluang mengetuai perniagaan yang dijalankan. Ini menarik wanita untuk bekerja tanpa terikat dengan mana-mana struktur kuasa dalam organisasi tertentu bagi menjayakan usaha yang dirancang dengan menggunakan cara mereka yang tersendiri.
Sepanjang pengalaman beliau bekerja, Elizabeth mendapati bahawa terdapat beberapa ciri dikongsi oleh usahawan-usahawan wanita yang berjaya. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
1 They Think Big
Ramai usahawan wanita yang berjaya mempunyai fikiran luas bagi mengembangkan perniagaan yang diceburi untuk pasaran yang lebih besar.
2 They Recognise Opportunities
Usahawan wanita yang berjaya sering mengkaji dan meneliti setiap peluang yang ada dan menggunakan peluang yang terbaik untuk memajukan perniagaan mereka.
3 They Network
Salah satu cara yang terbaik untuk mengembangkan perniagaan adalah dengan mewujudkan satu jaringan rangkaian yang luas dan berkesan.
4 They Adopt A Positive Outlook
Rata-rata usahawan wanita yang berjaya mempunyai sikap yang positif untuk maju dalam perniagaan.
5 They Communicate With Confidence
Kemahiran berkomunikasi dengan penuh keyakinan merupakan keperluan utama untuk berjaya dalam perniagaan.
6 They Learn From Setbacks
Kunci kejayaan bergantung kepada kecekalan yang tinggi dan sedia untuk belajar dari setiap cabaran yang ditempuhi.
7 They Do Jump Out of their Comfort Zones
Usahawan wanita yang berjaya mengambil smart calculated risks dan mempunyai keberanian untuk menerokai bidang yang baru.
Elizabeth Carlassare mengakhiri pembentangan beliau dengan menyatakan bahawa terdapat banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang boleh diterokai oleh wanita. Bidang keusahawanan merupakan satu bidang yang telah membuktikan bahawa wanita mampu untuk bersaing dengan cemerlang.
7 Secrets to Success from Women Entrepreneurs