Datin Diana Rose merupakan seorang anak peribumi negeri Sarawak dari keturunan Melanau. Beliau mempunyai minat yang mendalam untuk menghidupkan kembali budaya kaum Melanau di kalangan komuniti beliau di Tellian. diana.jpg

Permulaan perubahan hidup beliau berlaku pada tahun 1993 ketika beliau bertugas sebagai seorang wartawan untuk surat khabar The Star. Semasa membuat liputan mengenai Empangan Bakun, beliau menyedari kepentingan mendokumentasikan sejarah kaum Melanau. Oleh itu, usaha beliau bermula dengan penubuhan kumpulan tarian Badan Budaya Melanau Mukah pada tahun 1997.

Berkat usaha dan kegigihan beliau, Diana telah berjaya merealisasikan impian untuk membina satu rumah tradisional kaum Melanau yang dinamakan Lamin Dana. Rumah ini telah menarik minat pelancong untuk merasai pengalaman hidup dalam masyarakat Melanau di Tellian.

Pada tahun 2005, Diana telah dipilih sebagai DiGi Telecommunications Sdn. Bhd.’s Amazing Malaysians di atas kesungguhan dan dedikasi beliau dalam mengekalkan warisan kebudayaan kaum Melanau.

Pada Sidang Kemuncak Wanita ini, beliau membincangkan topik bertajuk Rowing Upstream. Fokus perbincangan beliau ialah mengenai kepentingan sseorang itu mempunyai impian dan menterjemahkannya melalui visi diikuti dengan misi dan perancangan untuk merealisasikan impian tesebut. Beliau menyatakan bahawa impian beliau adalah mengembangkan pengetahuan mengenai budaya kaum Melanau agar tersebar luas. Kejayaan beliau mencapai impian tersebut adalah dengan membina rumah Melanau tradisional yang dinamakan Lamin Dana yang bermaksud rumah tradisional dalam bahasa Melanau dan menjadikan rumah tersebut sebagai pusat tradisional untuk mengembangkan budaya Melanau.

Diana juga memaklumkan bahawa untuk menjadikan impian kepada kenyataan bukan merupakan satu perkara yang mudah. Bagi mencapai impian tersebut, banyak rintangan yang perlu dihadapi seperti kekangan kewangan, kekurangan sumber manusia dan kesukaran mendapatkan sokongan daripada komuniti beliau sendiri.

Kini, Lamin Dana dapat membantu menjanakan pendapatan masyarakat setempat. Dengan bantuan kaum wanita menyampaikan impian beliau, Diana telah berjaya mendapat sokongan kaum lelaki dan pada belia. Beliau kini turut menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk memajukan Lamin Dana.

Sepanjang usaha untuk mencapai impian beliau, Diana telah memperolehi banyak pengalaman bagi mengatasi pelbagai rintangan yang dighadapi. Antara perkara yang telah dipelajari oleh Diana adalah seperti berikut:-

  • Mengenal pasti lokasi
  • Mengenal setiap lapisan masyarakat setempat
  • Mengenali persekitaran
  • Mempunyai visi yang jelas
  • Mempunyai komitmen dan semangat yang tinggi; dan
  • Bersedia dari segi emosi, mental dan fizikal

Diana mengakhiri pembentangan beliau dengan menyatakan bahawa beliau telah mencapai impian beliau menerusi  Lamin Dana yang kini bukan sahaja dikenali di luar negeri Sarawak, malahan telah disenaraikan di dalam Lonely Planet. Hasrat beliau untuk mengekalkan dan memasyhurkan kebudayaan Melanau juga telah berjaya dipenuhi di mana usaha beliau sekarang melibatkan tujuh buah kampung dengan seramai 21 penenun kain dan lebih 100 orang anak muda yang terlibat dalam tarian dan muzik tradisional.        

SESI SOAL DAN JAWAB Puan Sharifah Norkamsiah
Beliau mencadangkan supaya diwujudkan satu kokus (caucus) kumpulan wanita yang telah berjaya untuk memberikan sumbangan, pandangan serta pengalaman mereka untuk membantu dalam usaha memajukan kaum wanita dalam pelbagai bidang.
Puan Rubi Ahmad
Puan Rubi Ahmad menyatakan bahawa bukan mudah untuk keluar dari tempat selesa (comfort zone). Oleh itu, beliau bertanya bagaimanakah cara yang sewajarnya perlu dilakukan.
Ahli panel berpendapat bahawa seseorang itu perlu mengambil risiko dan menganggap pengalaman yang baru itu sebagai satu pengembaraan. Semangat dan minat adalah penting bagi meyakinkan orang lain untuk turut sama terlibat dalam melaksanakan sesuatu yang baru.