The Malaysian Chinese Women’s Political Journey - Dato’ Ng Yen Yen
Oleh YB Dato’ Dr. Ng Yen Yen
YB Dato’ Dr. Ng Yen Yen berkelulusan Sarjana Muda Perubatan dan dari Universiti Malaya, telah berkhidmat sebagai doktor perubatan selama 26 tahun sebelum menceburi bidang politik. Beliau dilantik sebagai Senator pada tahun 1993. Pada tahun 1999 beliau menjadi ahli parlimen seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun yang sama. Pada tahun 2003 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan I sehingga sekarang. Dalam panel perdana, beliau telah membincangkan mengenai pentingnya penyertaan wanita dalam politik sebagai pemimpin dalam peringkat pembuat keputusan bagi mengukuhkan sistem demokrasi dan memperkasakan wanita.
Tahun 70an dan 80an adalah masa yang tidak memihak kepada wanita di mana pengalaman beliau sendiri sebagai ibu yang tidak diberi hak untuk menandatangani permohonan untuk membuat kad pengenalan anak. Pengalaman ini mendorong beliau untuk bergiat aktif dalam politik sebagai satu landasan untuk menangani ketidaksamaan gender terutamayan dalam sistem undang-undang yang perlu dikaji semula.
Wanita Malaysia telah bersedia jika meritokrasi dan keupayaan wanita diambil kira iaitu dalam memperkasakan wanita dalam pendidikan, kebebasan dalam ekonomi dan pembangunan kemahiran. Kesediaan wanita bukan hanya bergantung kepada keupayaan, faktor lain yang menyumbang adalah keadaan sekeliling iaitu keluarga, kerjaya, masyarakat, polisi, undang-undang serta pemikiran.
Pilihan sebagai pemimpin dalam politik tidak akan wujud tanpa kesedaran, minat , kehendak dan tindakan. Membuat pilihan merupakan hak kepada semua wanita. Namun pilihan tidak akan wujud tanpa persekitaran yang memungkinkan contohnya pada abad ke 20 di mana wanita Cina terikat dengan pemakaian kasut lotus tetapi sekarang wanita boleh berlari. Kemahiran memimpin boleh diperkukuhkan melalui program `The Thinking Women’ yang bertujuan mengubahkan pemikiran tradisional dan memperkasakan wanita melalui pemikiran yang kritikal, analitikal dan membina. Beliau juga menyentuh tentang Basket Movement dimana basket mengambarkan isteri yang mempunyai tugas biasa iaitu pergi ke pasar dan menyediakan makanan untuk keluarga dan tidak berani bersuara bagi mempertahankan haknya. Berlainan dengan `Basket‘ sekarang mengandungi isu semasa, pergerakan wanita, kesihatan, ekonomi dan lain-lain.
Cabaran wanita dalam kepimpinan politik adalah mengimbangi antara tanggungjawab kepada keluarga, suami dan politik. Peranan wanita sebagai ibu juga tidak boleh ditukar ganti. Wanita perlu diiktiraf atas kebolehan yang ada pada mereka dan bukan sesuatu yang agresif yang boleh mengugat kedudukan kaum lelaki.
Akhirnya, YB Dato’ menyatakan bahawa kita bersedia untuk memulakan perubahan untuk hari esok yang lebih baik dan pilihan adalah terletak kepada kita.
Leave a Reply